KUALA LUMPUR – Seorang pegawai di sebuah univeristi tempatan ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi projek pendidikan berjumlah kira-kira RM330,000 yang dilakukan antara 2018 hingga 2022.
Menurut sumber, suspek merupakan wanita berusia 40 tahun itu ditahan sekitar jam 4 petang ketika hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membuat tuntutan palsu bagi projek itu sedangkan kakitangan di bawah suspek tidak terlibat langsung dengan aktiviti dan tuntutan tersebut.
“Tuntutan palsu itu bagi projek pendidikan bernilai kira-kira RM330,000,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Jelas beliau, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pagi esok. – MalaysiaGazette