KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus melupuskan ekuiti tempatan untuk minggu kelima berturut-turut dengan jualan bersih sebanyak RM512.3 juta pada minggu lalu.

MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih setiap hari dengan jualan bersih terbesar pada hari Selasa sebanyak RM220.57 juta dan paling sedikit pada hari Khamis RM40.84 juta.

Satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah tenaga sebanyak RM26.4 juta dan hartanah RM3.9 juta.

Sebaliknya, sektor pembinaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan adalah sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi untuk minggu lalu masing-masing sebanyak RM724.6 juta, RM115.9 juta dan RM111.2 juta.

Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih RM119.9 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan terus mengambil ekuiti Malaysia dengan belian bersih RM121.0 juta minggu lepas.

Ini adalah pembelian bersih minggu kelima berturut-turut mereka.

Institusi tempatan dibeli bersih setiap hari dengan belian bersih terbesar pada hari Selasa sebanyak RM85.80 juta, Jumaat (RM34.63 juta) dan Khamis (RM25.74 juta).

Hanya hari Selasa mereka membuat jualan bersih kecil sebanyak RM2.13 juta.

Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM937.0 juta.

Manakala pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih minggu lepas, minggu kedua berturut-turut belian bersih.

Mereka beli bersih setiap hari dengan belian bersih terbesar pada hari Selasa sebanyak RM134.78 juta diikuti Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM57.15 juta dan RM56.76 juta.

Pembelian bersih yang paling sedikit sejumlah RM15.09 juta iaitu pada hari Khamis.

MIDF Research menambah, dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan sebanyak -24.9%, -22.5% dan -22.3% daripada peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast