KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-21 prosiding membabitkan rasuah Datuk Rozman Isli mendakwa, bekas Ahli Parlimen Labuan itu pernah mencadangkan pelantikan syarikat LP Multi Terminal Sdn Bhd sebagai pengendali operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan ditangguhkan pada 2018.
Penangguhan itu didakwa dilakukannya akibat implikasi politik kepadanya memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan pada Mei tahun itu juga.
Saksi, Zulkarnain Ayub yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini yang Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) juga tidak disyorkan sebagai pengendali terminal pelabuhan itu kerana akan memberi implikasi sama.
“Saya dan seorang lagi (bekas) Ahli Lembaga Pengarah LPL, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang juga ahli politik menyokong cadangan Rozman bagi mengelak implikasi politik menjelang PRU14.
“Rozman juga tidak mengisytiharkan bahawa bapa dan adiknya adalah pemegang saham dalam LLPM tetapi Rozman tidak maklumkan dalam mesyuarat,” katanya ketika membaca keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob hari ini.
Prosiding bersambung.
Pada 14 Oktober 2021, Rozman yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette