SPRM zakat
Bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengkaji semula kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, tindakan itu diambil untuk melihat keterangan-keterangan yang ada.

“Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, SPRM sebelum ini telah membuka dan menyiasat kes tersebut pada 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.

Jumaat lalu, Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin menyerahkan dokumen berkaitan kes tersebut kepada SPRM Negeri Sembilan di Seremban.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail pada Khamis lalu berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut pada 2019 dan siasatan kes tersebut sudah selesai.

Menurut beliau, hasil siasatan di bawah Akta SPRM 2009 tidak menemukan sebarang unsur jenayah rasuah.

Awgkok Ahmad Taufik Putra turut meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan yang disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.

Selain itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir pada Khamis lalu dilaporkan membuat penafian terhadap dakwaan itu.

Beliau menambah, MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang menyebarkan tohmahan dan fitnah tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof pada hari yang sama mengesahkan, pihaknya telah membuka semula siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pecah amanah.

Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan tersebut. – Malaysia Gazette