KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjanjikan satu projek baharu untuk pemainnya yang baru sahaja pulih daripada kecederaan, Syamer Kutty Abba.
Tunku Ismail atau TMJ menulis komen pada hantaran Syamer tentang projek baharu yangmengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjaga sepanjang proses pemulihan.
“Ingat apa yang saya beritahu awak. Projek baharu,” kata TMJ.
Mengalami kecederaan pada Julai lalu, JDT telah menghantar Syamer ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan di bawah pengawasan pakar bedah sukan, Dr. Juan Manuel Boffa yang merupakan konsultan kepada Manchester City.
Sementara itu, Syamer berkongsi perasaan selepas pulih daripada kecederaan lutut yang dialaminya dimana kecederaan tersebut memaksa pemain itu untuk berehat panjang.
“Alhamdulillah selepas 212 hari berhempas pulas dan bekerja keras, kini saya kembali melakukan perkara yang saya sukai (merujuk kepada bermain bola sepak).
“Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana memberikan penjagaan terbaik untuk kecederaan saya sejak hari pertama.
“Terima kasih kepada semua kakitangan kejurulatihan, rakan sepasukan, Fisioterapi terutamanya Luis Vita, keluarga dan rakan-rakan yang berada bersama sepanjang perjalanan ini.
“Kini tiba masanya untuk bertambah baik dan menjadi pemain yang lebih baik,” ujar Syamer. – MalaysiaGazette