Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli hadir bagi perbicaraan berhubung pertuduhan guna kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bapa dan adik lelaki kepada bekas Ahli Parlimen Labuan yang sedang berdepan dengan tuduhan rasuah didakwa hanya memiliki saham terendah dalam Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM), syarikat pengendali sementara Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Saksi pendakwaan ke-22, Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Adlin Shahira Mohd. Roslan mendedahkan kepada Mahkamah Sesyen ketika prosiding hari ini berkata,  keluarga tertuduh itu mempunyai pegangan saham sebanyak 31,250 unit.

Jumlah itu daripada keseluruhan tiga juta unit saham berbayar syarikat tersebut.

Bagaimanapun kata Adlin Shahira, kedua-dua mereka telah memperoleh 1.04 peratus saham dalam LLPM bagi empat tahun berturut-turut iaitu 2017, 2018, 2019 dan 2020.

Mahkamah turut diberitahu maklumat itu juga boleh diperolehi daripada dokumen Annual Return Of A Company Having A Share Capital Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd yang telah difailkan kepada SSM mengikut Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Ketika membacakan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, saksi mendedahkan pemegang saham tertinggi adalah Pengarah LLPM, Mohd. Alias Abd. Rahman iaitu sebanyak 1,350,000 unit.

Manakala pemegang saham lain ialah syarikat Tunas Rakyat Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 737,500 unit dan DPML Corporation Berhad iaitu sebanyak 200,000 unit.

Untuk makluman, semalam saksi ke-21, bekas Pengurus Besar LPL, Zulkurnain Ayub, 62, berkata, Rozman tidak mengisytiharkan bapa dan adiknya sebagai pemegang saham dalam LLPM.

Rozman ketika ini sedang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator pelabuhan.

Beliau didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Prosiding akan bersambung 6 Mac depan.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas  pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette