Salahuddin Ayub

KANGAR – Beberapa restoran makanan segera menyatakan minat untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif yang menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selepas dua minggu program itu dilancarkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga menarik minat beberapa syarikat gergasi untuk terlibat sama.

“Ini ialah satu berita gembira buat rakyat Malaysia apabila restoran makanan segera telah menyatakan minat untuk turut sama memperkenalkan Menu Rahmah selepas Burger King menawarkan hidangan berharga RM5 sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Menu Rahmah Peringkat Negeri Perlis di Restoran BEKWOH, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar.

Salahuddin berkata, beberapa syarikat besar restoran makanan segera antarabangsa akan memberi kata putus berhubung inisiatif itu pada minggu hadapan.

“Mereka bercadang untuk memperkenalkan burger sebagai Menu Rahmah kerana ia lebih mudah untuk pelanggan khususnya bagi golongan muda,” katanya.

Burger King menjadi restoran makanan segera pertama yang menyahut inisiatif kerajaan dalam menyediakan menu makanan pada harga sederhana melalui pelaksanaan program Menu Rahmah dengan menawarkan burger ayam atau daging, berserta sayur dan sebotol air mineral.

Selain sektor makanan, Salahuddin berkata, beberapa pemain industri antaranya tekstil dan perubatan turut menyatakan minat untuk menyertai program berkonsepkan Rahmah.

“Ada pihak industri yang berminat untuk memperkenalkan ‘Shopping Rahmah Raya’ bagi membantu rakyat membuat persiapan Aidilfitri dan perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut untuk mengenal pasti apa yang boleh ditawarkan oleh pengusaha industri ini nanti,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa pengusaha klinik swasta yang menyatakan minat untuk memperkenalkan konsep Rahmah seperti ujian saringan kesihatan pada harga serendah RM40 dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu. – Bernama