KUALA LUMPUR – Masih belum ramai yang membuat pendaftaran pencalonan di peringkat pusat bagi Pemilihan UMNO 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pendaftaran bagi pemilihan parti itu yang bermula di Auditorium Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam, berjalan lancar .
“Belum ramai lagi yang berdaftar tapi dijangka pendaftaran akan bertambah rancak menjelang hujung minggu. Lagi pun tempoh pendaftaran berakhir 26hb Februari ini.
“Bagi semua yang berdaftar kerana berhasrat untuk menawarkan diri bagi jawatan parti, patuhlah kepada Tata Etika pemilihan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Veteran UMNO itu berkata, JPU 2023 bertekad untuk menjamin kewibawaan proses pemilihan kali ini agar dapat dilahirkan kepimpinan tertinggi parti yang berwibawa.
Pendaftaran calon di peringkat pusat sudah bermula semalam membabitkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang dibuka sehingga 26 Februari ini.
Calon atau wakil calon perlu mengikuti beberapa prosedur dengan hadir ke kaunter pendaftaran, semakan dan seterusnya ke kaunter penyerahan borang.
Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat Bahagian, Exco Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat Umno Bahagian atau Perhubungan Umno Negeri.
Borang pencalonan boleh diperoleh di Pejabat Umno Bahagian dan di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri atau boleh dimuat turun melalui laman web rasmi https://umno-online.my. – MalaysiaGazette