PH PTPTN
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pemansuhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan perkara itu sekiranya ada pemimpin PH yang terlupa.

“Bukankah ini merupakan sebahagian manifesto Kita Boleh PH PRU15 yang lepas? Sudah lupa ke?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Merujuk kepada manifesto tersebut, di bawah tajuk Pengampunan Hutang PTPTN Bersasar, PH berjanji untuk melaksanakan Program Pemansuhan Hutang Bersasar Khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.

Langkah tersebut adalah untuk mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah dalam kalangan siswa termasuk keberhutangan PTPTN.

Manifesto PH turut menyatakan, jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksanakan berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.

Beliau turut memuatnaik keratan manifesto PH yang didakwanya itu.

Sebahagian daripada teks manifesto PH yang dikongsi dalam laman Facebook Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu pemansuhan pinjaman PTPTN dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PH. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tak kelirukan Parlimen isu mansuh PTPTN – Wan Fayhsal

1 Komen

  1. Lebai.. parti hang dulu pun sebahagian bt menifesto tu jugak.. tak yah nk pertikai itu ini.. almaklumlah nk pilihanraya.. serba serbi nk tunjuk prihatin.. lemah!

Comments are closed.