KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mesra dengan panggilan KJ akan memulakan tugas sebagai penyampai radio dengan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen Hot FM bermula esok pagi.
KJ berkongsi berita gembira menerusi video pendek dimuat naik dalam laman sosial, Instagram Hot FM, hari ini.
“Assalamualaikum, ada pengumuman penting yang saya nak buat hari ini. Iaitu satu pengumuman bersejarah yang akan menjawab soalan yang mungkin ditanya terhadap saya sejak dipecat UMNO.
“Jadi, dengan ini saya mengumumkan mulai esok saya akan menyertai Pertubuhan Politik Parti Hot FM.
“Esok saya akan berada di konti Hot FM memulakan tugas sebagai DJ anda,” katanya.
Serentak itu, KJ mengalu-alukan orang ramai memberi cadangan topik yang boleh dibincangkan bersama rakan penyampai.
“Komen di bawah untuk topik hangat yang anda mahu saya dan rakan-rakan berbincang, esok pagi,” katanya.
Pada 9 Februari lalu, KJ mengesahkan bakal menyertai Hot FM dalam temubual panggilan telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.
Tawaran Hot FM kepada KJ dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Media Prima Audio (MPA) berkata, selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, kehadiran KJ bersama tonggak utama Bekpes Hot pasti memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna lebih menarik untuk segmen terbabit.
Untuk maklumat lanjut, layari www.hotfm.audio dan dengarkan Bekpes Hot bersama Johan, Fara Fauzana, AG dan KJ, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 6 hingga 10 pagi. – MalaysiaGazette