Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai baharu yang lain bagi meningkatkan pendapatan negara untuk membantu pembayaran hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, kerajaan akan mencari pendekatan lain termasuk mengurangkan subsidi kepada kumpulan T20 bagi melakukan penjimatan perbelanjaan.

“Walaupun kerajaan sebelum ini membuat keputusan menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang membatalkan cadangan itu dan mengenakan hanya kepada kumpulan T20 iaitu MNC dan syarikat besar kecuali syarikat berkaitan keselamatan makanan.

“Ada beberapa langkah lain, umpamanya subsidi diesel pada 2022 ialah RM20 bilion tetapi dalam kajian Ketua Audit Negara separuh volume itu telah dijual kepada stesen minyak.

“Kalau kita boleh selamatkan RM5 bilion hingga RM6 bilion akan membantu,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Taiping) yang ingin mengetahui kedudukan hutang terkini negara dan punca kenaikan hutang setiap tahun.

Beliau turut meminta Anwar untuk menyatakan usaha-usaha yang akan dilakukan kerajaan bagi menyelesaikan hutang negara.

Menurut Anwar, liabiliti dan hutang kerajaan RM1.5 trilion iaitu 82 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. Hutang kerajaan RM1079.6 trilion termasuk komitment jaminan RM205.9 bilion, 1MDB RM18.2 bilion dan libaliti lain RM4142.2 bilion jumlah RM1445.9 trilion.

“Kalau dikira dari peratus 82 peratus daripada KDNK dan untuk hutang Kerajaan Persekutuan mencecah 60.4 peratus,” katanya lagi.

Tambah Anwar, jumlah itu turut merangkumi khidmat hutang iaitu RM46 bilion tahun ini.

Langkah-langkah yang diambil termasuk memperbaiki tatakelola kerana antara berbilion ringgit yang hilang menurut Anwar, disebabkan pengurusan lemah iaitu ketirisan yang menyebabkan hutang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara.

“Lain-lain untuk memastikan asas hasil ditambah adalah mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya.

Langkah itu akan dikemukakan dalam dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada minggu depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast