Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid melabai tangan kepada warga bomba pada hari terkahirnya berkhidmat ketika Majlis Perbarisan Penghargaan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Putrajaya .Foto MUHD NA’IM, 14 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mengakhiri perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada hari ini.

Datuk Abdul Wahab Mat Yassin yang kini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM akan menggantikan Mohammad Hamdan, berkuatkuasa esok.

Terdahulu, Mohammad Hamdan yang bersara wajib berkuatkuasa esok menyerahkan nota serah tugas dan tongkat kuasa kepada Abdul Wahab di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, di sini.

Selesai sesi membuat imbasan biometrik kehadirannya ke ibu pejabat buat kali terakhir, Mohammad Hamdan dan isteri, Datin Seri Jamilah Hossin yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita (Perisma) JBPM diraikan dalam majlis perbarisan penghargaan (paluan berundur) sebagai simbolik meraikan persaraan beliau.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) memeriksa kawalan kehormat pada Majlis Perbarisan Penghargaan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Putrajaya .Foto MUHD NA’IM, 14 FEBRUARI 2023.

Setiba di pentas utama, Mohammad Hamdan menerima hormat panglima sebelum memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang dianggotai dua orang pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat diketuai Penguasa Bomba, Abdul Nizam Abdul Gafar dengan diiringi pasukan pancaragam JBPM di bawah kepimpinan Ahmad Nazabah Zuel.

Mohammad Hamdan dan isteri kemudian menaiki kenderaan khas istiadat perbarisan penghargaan dan ditarik oleh pengarah JBPM dari setiap negeri yang berkumpul untuk merakamkan selamat persaraan.

Terdapat pegawai dan anggota JBPM yang berkumpul meraikan perasaraan Mohammad Hamdan tidak dapat menahan  menahan air mata berguguran pada majlis perpisahan itu.

Anak kelahiran Sarawak ini  memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai bomba pada tahun 1988.

Sepanjang 35 tahun perkhidmatan, beliau memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan bomba.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan dan Perancangan Tindak Balas Kecemasan daripada Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Matematik dari Universiti Malaya.

Mohammad Hamdan pernah menyandang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah JBPM pada 11 Jun 2018 sehingga hari ini. – MalaysiaGazette