Pasukan SMART, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekalan pek makanan sedia dimakan, makanan ringan, susu formula, ubat-ubatan termasuk kit bantuan kecemasan dan peralatan perubatan antara barang keperluan asas yang kritikal dan amat diperlukan oleh mangsa-mangsa gempa bumi di Syria.

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataannya berkata, keperluan itu dimaklumkan oleh Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur serta Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria bolehlah berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia oleh pihak Kementerian Luar Negeri.

Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut:

Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599

Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh
dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN ([email protected]).

Kementerian Luar Negeri berkata, sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri telah mengadakan perbincangan bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur pada 13 Februari 2023.

Ia bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria, lokasi-lokasi yang terjejas teruk dan mengenal pasti keperluan asas yang kritikal yang amat diperlukan ketika ini.

Dalam pada masa yang sama, kerajaan telah mengarahkan satu Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala
Kementerian Luar Negeri dan disertai wakil dari NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga wakil Persatuan
Bulan Sabit Merah serta MERCY Malaysia.

Lawatan Pasukan Peninjau Khas ini amat penting bagi mendapatkan gambaran dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan, ujarnya. – MalaysiaGazette