KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita yang lemas di Sungai Dengkil pada Ahad lalu akhirnya ditemui terapung di perangkap sampah Labohan Dagang Bukit Changgang, Banting pada petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan dari awam pada jam 9.38 pagi Ahad lalu memaklumkan mangsa terperangkap dan lemas dalam Sungai Dengkil berhampiran Pasar Dengkil.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil yang terdiri daripada lapan pegawai dan anggota beserta sebuah bot dan dua ekor anjing pengesan, K9, diketuai Ketua Operas,i Awang Omar bergegas ke tempat kejadian pada jam 9.53 pagi.
“Pemerhatian di lokasi Sungai Dengkil itu mendapati kejadian melibatkan seorang wanita warga tempatan dikenalpasti identitinya sebagai Wong Fong Fah, 57, tahun dipercayai lemas di sungai tersebut.
“Saksi yang kebetulan berada di lokasi telah melihat mangsa telah terkapai-kapai di tengah sungai itu dan terus tenggelam ke dalam sungai.
“Kemudian pasukan penyelamat telah mengaturgerakkan kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, berikutan pencarian gagal membawa petunjuk kepada kedudukan mangsa lemas, operasi pada Ahad terpaksa dihentikan.
Katanya, pada jam 11.32 pagi hari kejadian, maklumat mangsa berjaya dikesan berdasarkan barangan peribadi mangsa selain pengesahan oleh waris mangsa yang bergegas ke lokasi selepas kejadian itu.
“Pencarian pada hari kedua (Isnin) telah diteruskan secara water surface rescue dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat di sepanjang Sungai Dengkil itu menggunakan bot sebelum pencarian itu ditangguhkan pada 7 malam.
“Pada Selasa sekitar jam 8 pagi, petukaran pasukan SAR telah dibuat dan pencarian mangsa lemas itu dimulakan sekitar 8.30 pagi dengan menggunakan dua buah bot fiber bersama anggota Angkatan Pertahana Awam Malaysia tetapi terpaksa dihentikan seawal 3.40 petang disebabkan cuaca buruk hujan lebat,” katanya lagi.
Beliau berkata, memasuki hari ketiga pencarian, operasi disambung semula dengan menggunakan tiga buah bot dan dua ekor anjing pengesan bersama anggota pertahanan awam.
Ujarnya, pencarian mangsa kali ini dilakukan melalui kaedah searching surface di kawasan hotspot sungai meliputi jarak sejauh satu kilometer tempat asal mangsa dilaporkan terjatuh.
“Bagaimanapun, usaha gigih pencarian mangsa selama tiga hari membabitkan 29 anggota yang terdiri daripada 15 anggota bomba, polis (6) dan anggota APM (8) akhirnya berjaya membawa hasil apabila sekitar jam 5.13 petang tadi mangsa telah ditemui oleh orang awam dalam keadaan terapung di perangkap/penapis sampah Labohan Dagang Bukit Changgang, Banting.
“Pasukan penyelamat berjaya mencapai mangsa lemas dan mengeluarkan mayat dari lokasi tersebut sebelum identitinya telah dicam dan disahkan oleh ahli keluarga si mati itu.
“Mayat kemudian telah diserahkan kepada polis Sepang untuk dihantar ke hospital bagi menjalani proses bedah siasat mengenalpasti punca kematiannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette