KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa isu bantahan terhadap usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 2018 tercetus akibat penipuan, fitnah dan berita palsu.
Menurut beliau, kegagalan mendedahkan perkara tersebut dengan pantas akhirnya menyebabkan polarisasi hubungan antara kaum dan agama yang semakin memburuk.
“Insiden ini menjadi pengajaran penting mengapa penipuan, fitnah dan berita palsu tidak boleh dibiarkan berleluasa untuk menggugat kestabilan dan pembangunan progresif masyarakat dan negara dan mengapa ia perlu didedahkan dan dicantas seawal mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Disember 2018, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan tidak meratifikasi ICERD kerana tidak diberikan hak membezakan layanan di antara kaum walaupun taraf mereka tidak sama.
Menurut beliau, dalam konteks negara ini, jika orang Melayu tidak diberi peluang yang lebih berbanding kaum lain, mereka akan terus ketinggalan berbanding kaum lain yang sudah cekap dan berjaya.
ICERD menerima bantahan keras daripada orang Melayu dan umat Islam yang melihat konvensyen tersebut bercanggah dengan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka bimbang ICERD boleh memberi kesan negatif kepada hak istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, selain kedudukan Islam, tanah rizab Melayu dan tanah adat bumiputera.
Bantahan terhadap ICERD mencapai kemuncaknya pada 8 Disember 2018 apabila UMNO dan Pas bersatu hati menganjurkan perhimpunan aman membantah ratifikasi konvensyen berkenaan di Dataran Merdeka. – MalaysiaGazette