Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik prestasi pendidikan negara meskipun mendapat peruntukan besar daripada kerajaan.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menyokong Kerajaan Perpaduan itu berkata, perbelanjaan pendidikan negara menyaksikan peruntukan lebih tinggi berbanding beberapa negara ASEAN namun ia tidak menjamin kualiti pendidikan negara terus meningkat.

“Kita belanjakan dalam purata 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi tujuan peruntukan pendidikan, (namun) di Singapura mereka hanya membelanjakan 11 peratus malah di Jepun hanya tujuh peratus.

“Maksudnya perbelanjaan pendidikan anak Malaysia itu tiga kali ganda daripada lebih tinggi dari Jepun dan Singapura dua kali ganda.

“Ini per-kapita maksudnya per individu, tetapi walaupun sedemikian kenapa pengeluaran pendidikan kita makin terbelakang,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih kebawah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq dalam pada itu berkata, sistem pendidikan negara berada pada tahap yang mencemaskan dan ia memerlukan perhatian bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga semua partii penyokong kerajaan dan pembangkang.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, faktor tekanan kerja kepada guru-guru, tempoh menamatkan pengajian tinggi yang begitu lama, sekolah daif, masalah infrastruktur kawasan pedalaman dan kurangnya keyakinan ibu bapa terhadap pendidikan sekolah kebangsaan antara isu yang menekan prestasi pendikan yang kurang memberangsangkan.

“Saya tidak mahu sistem ini dijadikan ‘new’ normal di mana hanya apabila sesuatu isu itu diviralkan barulah ada tindakan yang menyeluruh diambil untuk memastikan bahawa sekolah daif, infrastruktur asas untuk sekolah daif itu dapat diperbaiki sepenuhnya.

“Sampai ke hari ini saya masih terima laporan bahawa kurangnya infrastruktur, lemahnya sistem pendidikan infra asas itu masih berterusan, jambatan terputus kena tunggu dua ke tiga bulan sebelum dapat digantikan, anak-anak datang dari keluarga susah terpaksa guna ‘flying fox’, sampan untuk pergi ke sekolah,” tambah Syed Saddiq.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata, Putrajaya perlu menggerakan perubahan dasar yang berani dengan bertindak meneliti semula silibus pembelajaran sedia ada selain memastikan setiap masalah infrastruktur diberikan keutamaan serta beban kerja guru perlu diteliti semula.

“Ia memerlukan perubahan dasar yang berani, peruntukan tambahan, tetapi bukan sahaja peruntukan tanpa perubahan dasar tetapi perubahan dasar yang besar dan bermakna supaya sistem pendidikan kita mampu memintas negara-negara lain,” katanya. – MalaysiaGazette