Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pembangkang sukar mempercayai kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bahawa kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan  mempunyai bukti yang kerajaan menggunakan kuasa untuk ‘menutup mulut’ pengkritiknya di media sosial.

Katanya, terdapat aktivis media sosial menerima notis daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk disiasat pada 19 Januari lalu dan notis yang meminta kata laluan bagi telefon pintar dan media sosial.

Beliau turut mendakwa terdapat seorang ahli Parlimen yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kandungan yang dikongsi di media sosial.

“Saya sukar nak percaya jawapan menteri. Saya ada bukti kerajaan PH-BN ini menggunakan kuasa dan agensi bukan nak jaga rakyat tetapi diri sendiri dan kerajaan sendiri

“Ada notis diberikan kepada aktivis media sosial yang memihak Perikatan Nasional,” kata Wan Saiful dalam sidang media di lobi Parlimen.

Dakwaan yang sama dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bercakap pada sidang media semasa hadir persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

Beliau mengecam tindakan yang dianggap sebagai satu bentuk ancaman dan provokasi terhadap pengguna media sosial.

“Terbaharu satu notis yang dikeluarkan terhadap Mohd. Hanif yang diminta untuk hadir oleh SKMM hari ini pada 1.30 di Bandar Hilir.

“Ini merupakan satu tindakan yang saya kira usaha untuk menyekat kebebasan terhadap anak-anak muda.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan, adakah mereka sedang menyekat kebebasan bersuara terhadap anak muda yang telah diperjuangkan oleh PH sendiri dalam manifesto mereka?” soalnya.

Terdahulu, Fahmi hari ini memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya.

Sebaliknya perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk platform media sosial membawa kepada sekatan ke atas kandungan tertentu bukannya pemilik akaun secara individu.

Fahmi juga berkata, sebanyak 197 kandungan – termasuk 101 di TikTok – telah diturunkan dari platform media sosial sepanjang bulan lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KKD tak mohon tindakan tutup, sekat akaun media sosial – Fahmi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast