Tunku Ismail Sultan Ibrahim

PETALING JAYA – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berminat memegang sebarang jawatan dalam pasukan negara termasuk sebagai pengurus skuad Harimau Malaya, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Namun, Hamidin berkata, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menzahirkan hasrat baginda untuk terus membantu meningkatkan mutu pasukan negara.

Katanya, perkara itu dizahirkan Tunku Ismail ketika beliau bersama Ketua Jurulatih pasukan negara, Kim Pan Gon menghadap baginda di Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini.

“Baginda tidak minat memegang apa-apa jawatan termasuk pengurus seperti yang dilaporkan tetapi bermula sekarang baginda nak berikan lebih daya usaha untuk bantu pasukan negara dengan apa sahaja yang boleh baginda lakukan.

“Ada orang katakan seperti baginda tidak mahu bantu (sebelum ini), (jadi) kali ini baginda mahu lakukan terutama untuk persiapan ke Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan mengaitkan Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM dengan jawatan pengurus skuad Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, Tunku Ismail mahu membekalkan beberapa peralatan gim antaranya basikal senaman, selain turut mengarahkan supaya Pan Gon menyenaraikan kelengkapan lain yang diperlukan pasukan bimbingannya.

Hamidin berkata, Tunku Ismail juga mempelawa pasukan negara berlatih dan bermain di gelanggang keramat JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sementara menunggu Stadium Nasional di Bukit Jalil siap diselenggara.

“Pan Gon tiada masalah (bermain di Iskandar Puteri) dia pun sukakan padang di sana. Selain padang, ada juga kemudahan fasiliti bagi proses pemulihan dan sains sukan,” kata Hamidin.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan lebih banyak pasukan dan presiden kelab yang sudi memberikan bantuan dalam apa sahaja bentuk demi memajukan pasukan negara yang bakal berdepan cabaran sengit Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Qatar. – Bernama