KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan fokus utama dalam merangka peraturan dan membangunkan satu tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2021 (Akta 840), tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, akta berkenaan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Oktober lalu dan diwartakan 18 Oktober tahun lalu.
Ini juga, katanya, tumpuan utama KPWKM bagi mengekang sebarang bentuk gangguan seksual dalam kalangan masyarakat.
“Kita nak pastikan supaya peraturan dan tribunal dapat dibangunkan pada tahun ini. Kita juga mahukan supaya program hebahan dan advokasi dapat dimulakan dengan kadar segera.
“Saya yakin KPWKM dan pihak media boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan hasrat supaya segenap lapisan masyarakat mendapat kesedaran akan adanya Akta ini dan kebaikannya.
“Semua orang mestilah menghentikan sebarang bentuk perlakuan gangguan seksual dengan serta merta,” katanya ketika berucap pada program KPWKM Bersama Media 2023, di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.
Kata beliau, selain Akta Antigangguan Seksual, KPWKM juga bertanggungjawab terhadap 11 akta lain termasuk akta yang berada di bawah kementerian dan agensi lain tetapi melibatkan fungsi KPWKM.
“KPWKM juga memikul amanah dengan mewakili kerajaan dan menyediakan laporan negara melalui pelbagai komitmen, deklarasi dan konvensyen antarabangsa antaranya Convention on the Eliminations of Discrimination Against Women (CEDAW), Convention on the Rights of Children (CRC) dan Convention on the Rights of People with Disabilities (CRPD).
“Kita turut bertanggungjawab melaksanakan beberapa Dasar dan Pelan Tindakan yang melibatkan kumpulan sasar yang kebanyakkannya merupakan golongan rentan. Contohnya seperti Dasar Kanak-kanak Negara, Pelan Tindakan OKU, Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) dan sebagainya.
“Apa yang saya nak tekankan di sini KPWKM sebenarnya telah banyak membantu rakyat yang memerlukan dalam segenap sudut,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya berharap semua program advokasi oleh Kementeriannya dapat dimulakan dengan segara.
“Saya yakin KPWKM dan pihak media boleh bekerjasama rapat, untuk merealisasikan hasrat supaya segenap lapisan masyarakat mendapat kesedaran adanya akta ini dan kebaikannya.
“Media mampu membantu kerajaan untuk menyebarluaskan inisiatif kerajaan selain bertindak sebagai ejen pengubah bagi menyampaikan maklumat yang sahih khususnya kepada kumpulan sasar KPWKM.
“Dengan perkembangan teknologi yang membolehkan maklumat disebarkan dengan sangat cepat, hanya di hujung jari dan peningkatan penggunaan media dalam talian seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya, cabaran untuk mengurus tanggapan masyarakat terhadap kerajaan khususnya KPWKM, memerlukan kami semua bertindak lebih cepat dan responsif.
“Tetapi pada masa yang sama, aspek integriti dan kesahihan maklumat juga tidak boleh diabaikan terutamanya bagi isu teknikal, yang membabitkan pelbagai akta dan peraturan,” ujarnya. -MalaysiaGazette