Lima warga Myanmar ditahan APMM Pulau Pinang di Pulau Kendi, semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan lima warga Myanmar yang mengemudikan bot nelayan tempatan susulan gagal menunjukkan permit sah bagi menangkap ikan.

Kesemua warga asing berusia 19 hingga 44 tahun itu ditahan menerusi Op Pertiwi dan Op Tanjung di kedudukan sekitar 23 batu nautika barat laut Pulau Kendi, di sini, semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati bot nelayan kelas C itu berpangkalan di Hutan Melintang, Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu didapati gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja.

300 kg hasil laut turut dirampas.

“Bot serta kesemua kru yang ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserah kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kesemua disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja mereka meskipun amaran  dan tangkapan sudah dilakukan beberapa kali.

“APMM tidak akan teragak-agak bagi mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast