Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali hari ini menghantar maklumat tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dan ketirisan pengurusan UiTM Holdings.

Maklumat tambahan itu yang merupakan dua salinan dokumen penting didakwanya dihantar secara pos ke rumahnya di Taman Melawati dekat sini, Isnin lalu.

“Merujuk kepada laporan yang telah saya kemukakan tempoh hari di Bahagian Aduan SPRM Kuala Lumpur kepada Pengarah SPRM Kuala Lumpur bertarikh 31 Januari 2023.

“Rentetan laporan saya sebelum ini, terbaharu pada 13 Februari 2023 sekitar pukul 11 pagi, saya telah menjumpai dua salinan dokumen dalam sehelai sampul surat berwarna coklat tanpa setem yang boleh dikaitkan dengan isu yang telah saya laporkan tempoh hari dalam tong pos kediaman saya yang pada hemat saya boleh dijadikan maklumat tambahan untuk SPRM melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

“Dokumen itu merupakan satu aduan terbuka tanpa nama pengirim yang memperkenalkan diri sebagai “orang dalam UiTM” menyentuh beberapa projek yang didakwa berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim mendakwa, antara pendedahan yang dinyatakan dalam dokumen itu ialah berlaku ketirisan Projek Solar di Gambang, Pahang dan Pasir Gudang di Johor, pelaburan produksi filem oleh FITA, Program University Technological Center (UTC) dan Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB).

Katanya, walaupun dakwaan itu mungkin dilihat tidak beserta bahan bukti namun beliau percaya jika ‘tiada angin masakan pokok bergoyang’.

“Dakwaan yang dinyatakan ini amat berat dan serius. Siasatan terhadap projek yang didakwa ini perlu diperhalusi dan diteliti oleh SPRM kerana dakwaan ini menyatakan terdapat seseorang atau pihak yang mengambil kesempatan serta mendapat manfaat jutaan ringgit daripada dana awam yang sepatutnya digunakan bagi membantu kebajikan dan pembangunan mahasiswa di UiTM.

“Justeru, saya memohon pihak SPRM segera melakukan siasatan menyeluruh terhadap empat dakwaan ini kerana ia melibatkan ratusan juta ringgit dana UiTM Holdings dan dana awam serta terdapat nama-nama yang telah disebut yang mempunyai kebarangkalian untuk bersubahat, cuai dan pecah amanah ketika mereka menjalankan tugas sepanjang tempoh masa tersebut.

“Saya lampirkan salinan dokumen tersebut untuk perhatian dan tindakan SPRM ke peringkat seterusnya,” katanya yang pernah menjadi ketua pelajar semasa UiTM masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara. – MalaysiaGazette