PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dua ahli perniagaan dari Kuantan yang mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan pihak berkuasa tempatan mengarahkan setiap papan tanda kedai memaparkan tulisan Jawi.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara memutuskan bahawa tidak ada rasional, atau tidak munasabah atau menyalahi undang-undang arahan pihak berkuasa negeri untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di premis perniagaan.
“Dasar itu tidak melanggar Perkara 5 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kami menolak rayuan perayu. Perintah Mahkamah Tinggi disahkan. Memandangkan ini adalah perkara yang melibatkan kepentingan awam, tiada perintah mengenai kos,” kata hakim menerusi prosiding dalam talian.
Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Datuk P. Ravinthran dan Datuk Nazlan Mohd Ghazali.
Ahli perniagaan, Jehan Abdullah dan Dana Palan Arunachalam, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 5 Ogos 2021, yang antara lain, memutuskan bahawa mereka tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk membawa tindakan undang-undang kerana mereka hanya memegang lesen perniagaan tetapi tidak memiliki premis perniagaan.
Antara lain, Mahkamah Tinggi juga menyatakan bahawa tulisan Jawi boleh digunakan untuk menyampaikan maksud dalam bahasa Melayu dan oleh itu merupakan sebahagian daripada bahasa kebangsaan.
Pada mulanya, Jehan dan Dana Palan turut disertai seorang lagi lelaki iaitu Phang Long Yen dalam permohonan semakan kehakiman mereka terhadap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan Pahang pada 2020.
Bagaimanapun, Phang telah meninggal dunia dan bukan pihak dalam rayuan hari ini.
Ahli perniagaan berkenaan, antara lain, memohon perintah untuk membatalkan arahan MPK dalam surat bertarikh April 2019 supaya perniagaan menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda di premis mereka.
Mereka juga memohon perintah untuk membatalkan keputusan exco kerajaan negeri pada 1 Mac 2018 untuk menggalakan penggunaan tulisan Jawi.
Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah bertentangan dengan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan tersebut menyatakan bahawa setiap lesen atau permit yang diberikan hendaklah tertakluk kepada syarat dan sekatan, sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan pada bila-bila masa tanpa memberi alasan.
Dilaporkan bahawa kerajaan negeri Pahang memutuskan pada 2018 bahawa semua premis perniagaan dan papan tanda jalan akan menggunakan tulisan Jawi dalam usaha memartabatkan penggunaan tulisan Jawi.
Jika enggan mematuhi arahan tersebut, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM250 dan lesen perniagaan mereka dibatalkan.
Dalam prosiding rayuan tersebut, MPK diwakili peguam Ong Siew Wan dan Datuk Saiful Edris Zainuddin bertindak bagi pihak kerajaan Pahang manakala perayu diwakili peguam T. Gunaseelan. – Bernama