Semua kawasan hentian rehat dan rawat (RnR) lebuh raya di seluruh negara dicadang menyediakan Menu Rahmah kepada golongan memerlukan terutama kumpulan B40.

ALOR GAJAH – Semua kawasan hentian rehat dan rawat (RnR) lebuh raya di seluruh negara dicadang menyediakan Menu Rahmah kepada golongan memerlukan terutama kumpulan B40.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu disuarakannya dalam pertemuan bersama pemegang taruh syarikat konsesi lebuh raya PLUS semalam yang secara dasarnya menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu.

“Ini adalah saranan saya, mohon jika dapat operator makanan di RnR bantu sediakan Menu Rahmah ini namun ia bukanlah paksaan tapi lebih baik jika mereka dapat bersama-sama menyertainya.

“Baharu semalam saya suarakan cadangan (Menu Rahmah) dan nampak ada sambutan. Idea ini bukanlah besar sampai perlukan kajian, tak perlu rundingan tapi boleh dilaksanakan ikut kemampuan operator,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Lebuhraya PLUS di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad Datuk, Mohd Izani Ghani, dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Indera Ir. Baharin Din.

Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau malam siap masak yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang dijual pada harga RM5 sepinggan.

Inisiatif itu dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Subang Jaya, Selangor pada 31 Januari lalu susulan daripada libat urus industri yang dilaksanakan pada 26 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast