Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri dalam proses untuk mengeluarkan kanak-kanak yang berada di dalam Depoh Tahanan Imigresen di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedang berbincang beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam penjagaan kanak-kanak,

“Saya dalam proses sedikit masa terdekat ini untuk mengeluarkan kanak-kanak itu daripada depoh tahanan tersebut,” katanya pada Program Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media di sini malam ini.

Tambah beliau, pihaknya serius menguruskan perkara itu selepas isu berkenaan mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia dan badan antarabangsa.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, seorang kanak-kanak daripada Bangladesh yang ditemui dalam kontena kapal akan dihantar ke negara asal.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Klang dan diberikan rawatan sebelum pihaknya menghubungi Kedutaan Bangladesh bagi proses penghantan pulang.

“Pada minggu depan kita akan menguruskan tiket penerbangan pulang untuk kanak-kanak itu dan menghantar dia balik ke negara asal selain itu perkara ini juga telah selesai dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri Bangladesh semasa lawatan kerja saya ke negara tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette