Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengesahan Fitch Rating ke atas penarafan kredit berdaulat negara pada BBB+ dengan tinjaun ‘Stabil’ bagi tahun 2023 mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia turut mencerminkan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

“Fitch menjelaskan, Penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan, hari ini.

Fitch menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.0% pada 2023 dan 4.8% pada 2024 berbanding pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7% pada 2022
ekoran kelonggaran sekatan COVID-19 dan usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan sokongan ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meluas.

Firma penarafan itu juga menjangka sektor perkhidmatan akan terus dirangsang oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan ekoran pembukaan semula China.

Selain itu, Fitch berpendapat bahawa defisit fiskal akan berkurangan secara beransur kepada purata sekitar 4.5% daripada KDNK pada 2023 – 2025, mengambil kira pelbagai
faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih baik dan langkah mobilisasi hasil yang berkesan.

Menurut Anwar, melangkah ke hadapan, Kerajaan berazam untuk memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar di peringkat global.

Katanya , melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam.

“Penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, Belanjawan 2023 juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen Kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat
selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu ‘Membangun Malaysia Madani’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast