KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Ogos bagi perbicaraan saman fitnah oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Mahkamah menetapkan perbicaraan berjalan selama lima hari dari tarikh tersebut.
Tarikh diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslinda A Raof pada pengurusan kes secara dalam talian sebentar tadi.
Perkara tersebut turut disahkan oleh peguam mewakili Mohd Puad, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang turut memaklumkan terdapat beberapa pindaan telah dimohon kedua-dua pihak dalam tuntutan.
“Kandungan pindaan itu akan didengar pada 11 April ini atas talian,” katanya kepada media.
Pada 1 Mac 2021, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memfailkan saman fitnah terhadap Puad, selain berjaya mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pemimpin UMNO itu atau mana-mana ejennya mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan perintah kuarantin di laman sosial.
Kenyataan fitnah dibuat dalam laman Facebooknya di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.
Kenyataan itu antara lain mempersoalkan tempoh kuarantin terhadap Muhyiddin selaku plaintif yang pulang ke tanah air selepas lawatan rasmi ke Indonesia.
Kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Muhyiddin yang ketika ituselaku Perdana Menteri sebagai tidak mempedulikan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan menyalahgunakan kuasanya bagi membolehkan Kabinet yang mengikuti rombongan ke Indonesia tidak perlu menjalani kuarantin wajib.
Sehubungan itu, Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang ditentukan oleh mahkamah.-MalaysiaGazette