KUALA LUMPUR – Seramai 39,604 pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas dimasukkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara automatik bulan lalu.
Menurut SPR, dalam tempoh sama iaitu dari 1 Januari hingga 31 Januari seramai 10,092 orang pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.
SPR berkata, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 (DPT BLN1/2023) telah diperaku pada 16 Februari dan diwartakan pada hari ini.
“DPT BLN1/2023 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 17 Februari 2023 hingga 18 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan.
SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Januari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Ia perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023.- MalaysiaGazette