Pengerusi Perikatan Nasional dan juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto FAREEZ FADZIL, 02 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan sudah  diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berkaitan siasatan membabitkan dana RM300 juta yang disyaki diterima oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Menurut sumber, Presiden Bersatu itu dikatakan hadir memberi keterangan berhubung kewangan partinya di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Selain keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, SPRM juga dipercayai sudah merakam keterangan daripada beberapa pemimpin tertinggi parti Bersatu berkenaan kes yang sama sebelum ini.

Sehubungan itu, kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai berada dalam fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu dalan kes ini,” kata sumber itu.

Terdahulu, dalam kenyataan awal pada 1 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan beberapa akaun milik parti Bersatu  telah dibekukan bagi membantu siasatan lanjut.

Azam berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram seperti didakwa.

SPRM menjalankan siasatan dalam kes ini di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, SPRM mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini.

SPRM memulakan siasatan itu disebabkan dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa telah diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.- MalaysiaGazette