PUTRAJAYA – Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan Jerman dalam bidang biodiversiti, ekologi dan perubahan iklim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier telah menunjukkan minat dalam bidang-bidang tersebut dan berharap usaha ini akan dapat membawa lebih ramai pelabur ke negara ini.
“Kita boleh memulakan kerjasama ini dengan memfokuskan dahulu dalam sektor tenaga dan pengurusan sisa,” katanya dalam sidang media bersama Steinmeier di Perdana Putra di sini hari ini.
Anwar juga berharap lawatan Steinmeier ke Kuching, Sarawak esok, akan memberikan peluang kepada beliau untuk melihat komitmen Malaysia dalam melindungi hutan hujannya.
“Esok beliau akan pergi ke alam semula jadi dan (melihat) perlindungan iklim di sana dan berharap beliau akan dapat melihat sejauh mana komitmen Malaysia, dalam melindungi hutan hujan dan bertukar pandangan bersama pakar di Sarawak,” katanya.
Steinmeier, yang dalam lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula semalam, dijadualkan untuk melawat Taman Negara Tanah Lembap Kuching dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Kuching esok, sebelum berlepas pulang ke Berlin.
Sementara itu, Steinmeier berkata Malaysia dan Jerman mahu meningkatkan kerjasama dua hala dan berkongsikan komitmen dalam menangani perubahan iklim.
“Hari ini bercakap pasal politik, esok mengenai perlindungan iklim,” katanya dan menambah yang beliau amat gembira untuk ke Sarawak untuk melihat komitmen Malaysia dalam melindungi hutan hujan. – BERNAMA