Harumaini Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar menafikan tuduhan dirinya tidak hadir selama enam bulan dalam sidang DUN Selangor.

Menurut beliau, sebagai ADUN beliau menghadirkan diri bagi mesyuarat pertama dan kedua Dewan pada Mac hingga Ogos tahun lalu.

“Meskipun saya hadir pada 27 Julai 2022, kehadiran saya adalah masih di dalam sidang atau mesyuarat kedua yang sama (same sitting).

“Oleh yang demikian, Yang Berhormat Speaker telah terkhilaf apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan dari tarikh 27 Julai 2022 kerana ia masih di dalam satu sidang atau mesyuarat yang sama,” katanya dalam satu surat yang dikirimkan oleh beliau kepada Yang di-Pertua DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Dalam surat bertarikh 17 Februari itu, Harumaini berkata, Suee Lim ternyata khilaf daripada segi fakta dan undang-undang .

Beliau berkata, tempoh pengiraan enam bulan yang dibuat Suee Lim adalah bermula 27 Julai tahun lalu kerana ia merupakan tarikh sidang depan yang beliau hadiri.

“Sehingga kini, saya belum menerima apa-apa pemakluman rasmi melalui apa- apa notis bertulis daripada pihak Yang Berhormat Speaker berhubung pengisytiharan tersebut. Keputusan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi DUN tersebut juga dibuat tanpa apa-apa semakan terlebih dahulu dibuat dengan pihak saya.

“Berkenaan kuasa Speaker di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya menzahirkan di sini bahawa kuasa tersebut hendaklah dilaksanakan dengan adil, berhemah dan menurut lunas undang-undang,” katanya dalam surat empat muka surat itu.

Dalam surat berkenaan, Harumaini berkata beliau hadir pada mesyuarat kedua yang diadakan dari 14 Mac hingga 18 Mac, dan 21 Mac hingga 25 Mac serta 25 Julai hingga 29 Julai serta 1 Ogos hingga 5 Ogos bagi mesyuarat kedua DUN.

“Berdasarkan lunas undang-undang, ketidakhadiran saya tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

“Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022,” jelas beliau lagi.

Harumaini dalam pada itu memberikan tempoh tiga hari kepada Suee Lim untuk memberikan maklum balas kepada beliau mengenai tindakan mengosongkan kerusi DUN Batang Kali.

“Saya memohon agar Speaker memberikan pertimbangan wajar untuk menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi DUN Batang Kali dengan serta merta.

“Saya juga menyarankan agar hak bersuara di dalam sistem demokrasi di negeri Selangor diberikan secara adil tanpa ada motif peribadi atau agenda politik tertentu dengan tidak meminggirkan hak ahli-ahli Dewan Negeri dari blok pembangkang dan blok bebas,” katanya lagi.

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dalam satu kenyataan pula menuntut agar Suee Lim tidak menjadikan perkara itu sebagai mainan politik.

Jelas Ketua Penerangannya, Rafique Rashid, pihaknya meminta agar DUN Selangor tidak mengamalkan sikap prejudis terhadap Harumaini kerana pembubaran dewan yang boleh berlaku bila-bila masa.

“Rakyat adalah pemegang taruh paling besar dalam demokrasi dan Rakyat jugalah berada dalam posisi paling merugikan sekiranya politik terus menjadi mainan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Semalam, DUN Selangor menerusi speakernya, Ng Suee Lim berkata keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Batang Kali itu dibuat setelah Harumaini gagal menghadirkan diri dalam sidang DUN selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Ia berdasarkan kepada data pada penyata rasmi dan buku kedatangan mendapati Harumaini tidak hadir tanpa kebenaran pada keseluruhan persidangan bermula 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerusi Batang Kali diisytihar kosong – Speaker DUN Selangor