ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 93 unit ventilator yang tidak dapat digunakan semasa pembelian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021 telah dicadangkan untuk dilupuskan kepada Pusat Latihan Teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan.

Perkara itu dinyatakan dalam maklum balas yang diterima Jabatan Audit Negara daripada KKM pada 7 Oktober berhubung isu tersebut.

Menurut KKM, hasil pemeriksaan di fasiliti kesihatan mendapati ada perkara yang perlu diberi perhatian melibatkan fungsi ventilator sebelum ia dapat digunakan ke atas pesakit.

“Syarikat 260790-T cuba menghubungi pengeluar ventilator tetapi peralatan tersebut tidak boleh dipulangkan semula.

“Sehubungan itu, syarikat 260790-T mencadangkan supaya peralatan tersebut dinaik taraf dengan bayaran minimum,” jelas kementerian itu.

Maklum balas KKM itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Kerugian yang ditanggung kerajaan akibat masalah berkaitan 93 unit ventilator itu dianggarkan berjumlah RM13.07 juta.

KKM menambah, Arahan Mula Kerja telah dikeluarkan kepada syarikat terbabit oleh Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) pada 2 September 2020 berdasarkan Mesyuarat Rundingan Harga sehari sebelumnya.

“Tiada sebarang perjanjian ditandatangani memandangkan perolehan ini tidak dinyatakan dalam PP/PB3.3,” kata KKM.

Selain itu, KKM juga telah bersetuju dengan tawaran syarikat berkenaan untuk menerima penggantian sebanyak 18 unit berdasarkan kos penyelenggaraan 93 unit ventilator yang dilupuskan. – MalaysiaGazette