ventilator KKM
Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2021.

KITA semua dikejutkan dengan isu 93 unit ventilator yang dibekalkan oleh sebuah syarikat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat digunakan ketika negara sedang berdepan cabaran amat getir dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 pada 2021.

Isu tersebut bukan tuduhan sembarangan kerana dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut, Kementerian Kewangan pada 25 Mac 2020 telah meluluskan permohonan pengecualian kepada KKM terhadap tatacara perolehan darurat bagi membolehkan pembayaran pendahuluan RM30 juta dibuat kepada syarikat terbabit bagi perolehan 500 unit ventilator dengan anggaran kos RM50 juta.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut hanya dapat membekalkan sebanyak 136 unit ventilator ke fasiliti kesihatan yang ditetapkan KKM secara berperingkat mulai 1 April hingga 19 Mei 2020 dengan nilai perolehan RM20.1 juta.

Pada 4 Jun 2020, KKM memaklumkan kepada syarikat tersebut bahawa beberapa ventilator yang dibekalkan didapati tidak sesuai dan perlu dinaik taraf sebelum digunakan.

Mesyuarat rundingan harga pada 1 September 2020 telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3.97 juta bagi membolehkan kerja naik taraf dilakukan oleh syarikat berkenaan sekali gus menjadikan kos keseluruhan meningkat kepada RM24.07 juta.

Namun, daripada 136 ventilator yang dibekalkan, hanya 28 unit yang dapat digunakan manakala 15 unit dikembalikan kepada pengilang di luar negara dan 93 unit lagi tidak memenuhi ujian spesifikasi teknikal serta ujian prestasi dan kuantitatif.

KKM dalam maklum balas bertarikh 7 Oktober 2022 kepada Jabatan Audit Negara menyatakan bahawa 93 unit ventilator yang tidak dapat digunakan itu telah dilupuskan kepada Pusat Latihan Teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan.

Walaupun kesemua 93 unit ventilator berkenaan tidak dibuang atau ‘tersadai’ begitu sahaja, penggunaannya sudah tersasar daripada matlamat asal pembelian iaitu untuk membantu proses rawatan pesakit COVID-19.

Banyak lagi isu-isu lain berkaitan perolehan KKM ketika tempoh darurat di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinyatakan dalam LKAN 2021 Siri 2 seperti sebanyak 1.1 juta dos vaksin tamat tempoh.

Selain itu, berlaku lebihan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sangat ketara dengan nisbah penggunaan hanya sebanyak 2.2 peratus dan 3.1 peratus dengan baki masing-masing sebanyak 3.08 juta pasang dan 0.84 juta helai.

Lebih mengejutkan, pemimpin-pemimpin PN setakat ini hanya mendiamkan diri daripada membicarakan isu-isu berkaitan KKM yang berlaku ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Sikap mereka itu jauh berbeza dengan kelantangan yang mereka tunjukkan dalam isu-isu lain seperti perolehan kapal tempur pesisir (LCS), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International dan Menu Rahmah.

Yang bersuara pun Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii dari DAP yang menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap semua pihak yang terlibat dalam isu perolehan 93 unit ventilator yang bermasalah itu sehingga menyebabkan berlaku kerugian dana awam sebanyak RM13.07 juta.

Apakah pemimpin-pemimpin PN hanya berani berlagak seperti hero apabila timbul isu yang dikaitkan dengan pihak lawan namun cuma diam menikus jika kontroversi terpalit di batang hidung sendiri?

Sepatutnya pemimpin-pemimpin PN tidak perlu takut-takut dalam hal ini bagi membuktikan mereka benar-benar menjiwai slogan PN Bersih dan Stabil atau PN Best yang bakal dikitar semula pada enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Harap penulis rajin sikit membaca keseluruhan laporan. Bukan setakat tajuk. Dalam laporan audit, pihak KKM telah bg jawapan kenapa perkara tersebut berlaku. Semasa darurat Covid 19, semua pintu negara termasuk pengeluar mesin ditutup. Tiada FAT ( factory acceptance test) dan ujian pengilang boleh dibuat. Beli hanya refer di katalog. Dlm masa darurat, semua pihak berebut2 dapatkan stok PPE dan mesin ventilator. Pasti ada kekurangan yg berlaku dalam keadaan begitu.

Comments are closed.