Hospital Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

KUALA LUMLUR – Jabatan Kecemasan Hospital Cyberjaya memberi keutamaan kepada kes kecemasan dan kritikal.

Justeru, orang awam diharap supaya menggunakan fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk rawatan kes biasa bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Demikian menurut Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman mengulas ciapan Twitter yang tular pada 10 Februari lalu  berkaitan dakwaan penolakan pesakit di Hospital Cyberjaya.

“Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan di Hospital Cyberjaya melalui Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan,” katanya menerusi kenyataan.

Sha’ari berkata, Hospital Cyberjaya beroperasi secara berperingkat bermula dengan perkhidmatan kecemasan, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik dan Perubatan Am.

Jelas beliau, hospital itu kini beroperasi dengan tambahan beberapa perkhidmatan lain seperti Pembedahan Am, Patologi, Radiologi, dan Anestesiologi.

Jabatan Farmasi juga telah membekalkan ubat-ubatan mengikut perkhidmatan yang disediakan, ujarnya.

Dalam pada Dr. Sha’ari berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha  penambahbaikan penyampaian perkhidmatan Hospital Cyberjaya untuk dipertimbangkan. – MalaysiaGazette