Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

TUMPAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang terlibat dalam memuktamadkan pintu masuk baharu antara Malaysia dan Indonesia susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu negara itu di Kalimantan Timur.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sempadan baharu antara perkara dibincangkan Malaysia dan Indonesia menerusi Perjanjian Lintas Batas (CBA).

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah selesai berada di Indonesia, kita akan ada sempadan baharu dengan Nusantara.

“KDN sekarang ikut terlibat dalam memuktamadkan CBA yang kami harap akan dapat dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Pada sesi lawatan tersebut, beliau turut mengambil peluang melihat kawalan keselamatan di sepanjang Sungai Golok, yang bersempadan dengan Thailand.

Saifuddin Nasution berkata, terdapat tiga komponen akan dimuktamadkan dalam mengenal pasti pintu masuk baharu itu.

“Ada tiga komponen iaitu mengenal pasti titik ke titik pintu masuk di sebelah kita (Malaysia) dan sebelah Indonesia, berapa luas kawasan yang akan kita liputi melalui perjanjian itu dan kategori penduduk (berhampiran pintu masuk).

“Dari segi perundingan mengikut jadual, kalau nanti tentatifnya berlaku lawatan rasmi Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo) ke Malaysia pada tahun ini antara komponen penting adalah menandatangani perjanjian tersebut,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast