Fadhlina.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan pelan tindakan di negeri berisiko banjir bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlansung pada Isnin ini berjalan dalam keadaan teratur.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bilik gerakan banjir juga disediakan sebagai persiapan manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut bersiap siaga mendepani sebarang kemungkinan.

“Kita sudah buat pelbagai persiapan terutamanya di negeri-negeri yang dijangka atau yang telah biasa dilanda banjir.

“Selain itu, kita sudah mengenal pasti sekolah-sekolah yang akan dijadikan pusat peperiksaan dan pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bantuan Awal Persekolahan Kadun Jawi 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Nibong Tebal di sini, hari ini.

Fadhlina (tengah) menyampaikan boucar bantuan awal persekolahan Kadun Jawi di SJKT Nibong Tebal hari ini.

Tambah Fadlina, pihaknya juga  bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mempersiapkan segala kelengkapan dalam menghadapi bencana banjir.

“Walau bagaimanapun, saya amat berharap mudah-mudahan tidak berlaku banjir supaya anak-anak kita boleh menduduki peperiksaan dengan tenang,” katanya ringkas.

Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 403,637 calon akan menduduki SPM di 3,355 pusat pemeriksaan di seluruh negara bermula 20 Februari hingga 15 Mac ini.

Seramai 131,318 petugas peperiksaan bagi membantu kelancaran proses pengambilan peperiksaan SPM.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my. – MalaysiaGazette