Foto: FB Shalin Zulkifli

KUALA LUMPUR – Bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli optimis dapat meraih kepercayaan penuh para atlet ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei ini sejurus dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Shalin berkata, pemilihannya bersama bekas pemain skuasy wanita kebangsaan Sharon Wee bagi memegang portfolio berkenaan mampu membuatkan atlet berasa selesa dengan kehadiran mereka memandangkan kedua-duanya pernah merasai jerih perih sebagai atlet sebelum ini.

“Kadang-kadang ada atlet yang susah percaya dengan orang lain tapi dengan orang yang pernah mengharungi (pengalaman bertanding) mereka lebih senang dan terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Olahragawati kebangsaan sebanyak lima kali itu berharap beliau dan Sharon dapat berkongsi tips (petua) berguna kepada kontinjen negara terutamanya barisan atlet muda dalam membimbing mereka untuk tampil lebih garang di Kemboja.

“Sebenarnya, mereka (atlet muda) ini merupakan pelapis untuk Sukan SEA seterusnya, jadi memang penting bagi kami terapkan nilai patriotisme. Saya dapati mereka juga ada kemahiran namun tiada sentuhan terakhirjadi saya harap dapat berkongsi pengalaman bersama Sharon nanti,” katanya.

Sukan SEA 2023 dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

Dalam perkembangan lain, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu melihat lebih banyak persatuan sukan berkualiti dilahirkan dan seterusnya dapat memperoleh penarafan lima bintang pada masa depan.

September lepas, lima persatuan sukan tempatan iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia, Persekutuan Wushu Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia dianugerahkan taraf lima bintang pada majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 anjuran Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negara.

“PJS (pesuruhjaya sukan) ada cara nilai dan beri markah kepada mereka, jadi (saya) harap banyak lagi persatuan sukan tingkatkan urus tadbir dan hal kewangan supaya lebih banyak persatuan sukan berkualiti dilahirkan,” katanya. – Bernama