BANGI – Untuk terus melestarikan gerakan dakwah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membuka pasar raya, YADIMart, kedua di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) yang baharu, Zamri Zainal Abidin, berdasarkan permintaan tinggi diterima YADIMart pertama di Seri Kembangan, pasar raya di Bandar Baru Bangi menawarkan kira-kira 6,000 jenis barangan keperluan harian.

“Kita memang fokus kepada kawasan yang kita fikir untuk dibantu dengan kepadatan penduduk dan harga barangan yang kita tawarkan pada harga mampu beli dan jauh lebih rendah yang ditawarkan di pasar raya lain.

“Kita juga berkira-kira untuk membuka YADIMart di lokasi-lokasi lain,” katanya pada majlis pembukaan rasmi YADIMart di Bangi Gateway, di sini, hari ini.

Ia dirasmikan setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhammad Razak Idris.

Menurutnya, penubuhan pasar raya tersebut merupakan manifestasi kesungguhan YADIM dalam memastikan gerakan dakwah berorientasikan perniagaan dalam digerakkan.

Sempena pembukaan, YADIMart menawarkan Jualan Rahmah dengan menjual seekor ayam pada harga RM5, RM16.90 bagi minyak masak 5 kilogram, RM6.90 bagi beras 5 kilogram serta gula satu kilogram pada harga RM1.50.

Sebanyak 1,000 ayam segar dijual Yadimart di Bandar Baru Bangi dalam masa dua jam sejak ia dibuka pada jam 10 pagi.

Menurut Muhammad Razak, YADIMart di sini mempunyai keluasan 4,200 kaki persegi dan ia terbahagi kepada bahagian segar, bahagian makanan dan bahagian bukan makanan.

“Pasar raya ini boleh memuatkan sehingga sekurang-kurangnya 200 orang pengunjung pada satu satu masa dengan selesa.

“Sebagai permulaan, YADIMart Bangi akan beroperasi pada jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan menawarkan kira kira 6,000 jenis barangan keperluan harian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast