Bukan Parlimen Johor Bahru tetapi Lim Kit Siang akan mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah yang disandangnya yang kini ditukar nama kepada Iskandar Puteri.
Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya
terma penyelesaian berhubung kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan kerajaan tidak dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Bekas Ahli Parlimen DAP itu bertegas keputusan merahsiakan penyelesaian berhubung pemecatan Mohamad Apandi sebagai Peguam Negara tidak dapat dipertahankan sama sekali daripada segi kepentingan awam.

Kit Siang turut bersetuju dengan Dr. Mahathir yang keliru dengan dengan keputusan kerajaan untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian terbabit.

“Kepentingan awam memerlukan penyelesaian di luar mahkamah didedahkan kepada umum. Kabinet harus membalikkan keputusan untuk mengekalkan penyelesaian di luar mahkamah daripada pengetahuan orang ramai kerana kerajaan bertindak bagi pihak orang ramai.

“Jika Apandi mahu memulakan tindakan undang-undang hasil daripada penerbitan penyelesaian di luar mahkamah, dia sepatutnya bebas berbuat demikian,” kata Kit Siang dalam kenyataan.

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan, Dr. Mahathir tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan merahsiakan terma dan syarat berhubung penyelesaian saman sivil yang dikemukakan terhadapnya oleh Mohamed Apandi.

Menerusi media sosial, bekas perdana menteri itu berasa bingung dengan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman.

“Saya keliru dengan keputusan Azalina untuk merahsiakan penyelesaian tuntutan Apandi berhubung pampasan bagi pemecatan beliau.

“Mohamed Apandi yang merupakan bekas Peguam Negara bagi kerajaan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak telah membuat tuntutan beliau secara terbuka malah beliau mengumumkan jumlah itu sebanyak RM2,233,599.36.

“Namun pampasan yang dibuat oleh kerajaan adalah rahsia. Kenapa? Saya mempunyai sebab untuk mengetahui sebabnya kerana saya tidak fikir Apandi layak mendapat pampasan itu sama sekali,” kata Dr. Mahathir

Pada Rabu lalu, Azalina menerusi jawapan bertulis menjelaskan Mohamed Apandi dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk tidak mendedahkan syarat penyelesaian itu.

Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.

Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015 memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.-MalaysiaGazette