Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor berjanji akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk Taman Sungai Sireh, dekat Klang yang terlibat dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau dimaklumkan 89 keluarga melibatkan taman itu dan Kampung Delek dikatakan terjejas dengan projek berkenaan.

Selain penempatan penduduk, kata beliau, sebanyak 86 lot tanah kubur di dua kawasan itu turut terkesan dengan laluan projek itu.

“Kerajaan negeri sedaya upaya cuba mengelakkan laluan ini daripada terkena penempatan penduduk tetapi tidak ada jalan lain lagi.

“Namun saya pegang (pada) janji saya, kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik,” katanya dalam program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau, semalam.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan rasa tidak puas hati penduduk Taman Sungai Sireh dengan projek ECRL di kawasan penempatan mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar mendakwa, sebelum ini penduduk telah menghantar surat bantahan rasmi kepada pihak berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Katanya, penduduk Taman Sungai Sireh mulanya tidak tahu penempatan mereka terlibat dengan projek ECRL sehingga Ogos tahun lalu selepas media melaporkan projek itu diteruskan di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, pembinaan laluan ECRL di lokasi itu mungkin bermula pada 2025 atau 2026, maka kerajaan negeri masih mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak tertentu.

Ujar beliau, jika laluan tidak dialih, kerajaan negeri akan memberikan rumah sesuai supaya hidup penduduk tidak terganggu.

“Saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini, kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan, yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu,” katanya.

Laluann ECRL di Selangor melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL  BERKAITAN:

Penduduk Taman Sungai Sireh bantah projek ECRL – Sukri