Datuk Mohamed Farid Zawawi

KUALA LUMPUR – Serangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak lebih sekadar mengalih perhatian rakyat terhadap kelemahan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohamed Farid Zawawi menegaskan, kerajaan baharu yang turut disertai Barisan Nasional (BN) tidak ada keupayaan menyelesaikan masalah negara melainkan hanya pandai bercerita dan mengalih pandangan sahaja.

Katanya, ini tidak lebih daripada red herring yang biasa digunakan untuk menutup kelemahan sendiri.

“Kita lihat masalah dasar kenaikan kos sara hidup belum diselesaikan. Cadangan juga kedengaran hendak menjual Petronas tetapi dikaburi dengan penyenaraian di bursa.

“Kerajaan sebenarnya buntu akal untuk meningkatkan pendapatan sehingga sanggup menggadaikan harta negara demi mencapai penyelesaian jangka pendek yang pastinya bakal merugikan negara dalam masa panjang.

“Pokoknya, tiada rencana berskala lagi tersusun untuk meningkatkan ekonomi negara sekali gus menjana pekerjaan berkualiti dan memacu pendapatan rakyat. Rakyat perlukan pembelaan, bukan sajian wayang yang tidak mengisi perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dikatakan mengesahkan Perdana Menteri kelapan itu antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Sumber SPRM dilaporkan berkata, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam kenyataan balasnya menjelaskan, beliau dipanggil untuk memberi kenyataan bukan suspek.

Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid  membayangkan serangan terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan terus memuncak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut beliau, PH masih terbawa-bawa dengan perangai sebagai pembangkang iaitu menyerang pihak lawan tanpa asas.

“Pesanan saya kepada rakyat, jangan percaya mahupun terpengaruh dengan tohmahan tanpa asas ini. Tiba masanya PRN nanti, zahirkan sokongan anda dengan memberi undi kemenangan kepada calon PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Aiyooo..kalau si Sembab tu duk jaja fitnah burukkan org lain tak pe yer…dasar penyamun! Parti baru tubuh 6 tahun dah ada dana 300 juta…gilerrrr

Comments are closed.