Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan pihaknya akan memanggil Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memberi keterangan membantu siasatan projek Jana Wibawa.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, bekas Menteri Kewangan itu akan diambil keterangan pada masa terdekat.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan butiran lanjut mengenai bila Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri itu akan dipanggil.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Azam juga mengesahkan SPRM sudah selesai merakam keterangan daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Siasatan sedang dijalankan dan adalah tidak wajar untuk individu yang dipanggil untuk memberi keterangan membuat kesimpulan sendiri sama ada mereka dipanggil sebagai saksi ataupun suspek dalam kes ini,” katanya.

Menurut Seksyen 30(1)(a), Akta SPRM 2009, seseorang pegawai SPRM yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah akta berkenaan boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin pada pendapatnya membantu dalam penyiasatan kes.

“Mereka (Muhyiddin) harus menunggu sehingga siasatan selesai sebelum memberi komen tentang siasatan oleh penguat kuasa,” kata Azam.

Kenyataan Azam menyusul selepas Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini mengesahkan kepada media  bahawa dia telah selesai diambil keterangan oleh SPRM dalam kes projek Jana Wibawa.

Namun Pengerusi Perikatan Nasional itu menafikan kepada pemberita bahawa beliau dirakam percakapan dan disiasat sebagai suspek oleh SPRM.

Terdahulu, sumber SPRM hari ini menegur tindakan Muhyiddin sebagai tidak profesional apabila perbuatannya memberi komen berunsur spekulasi boleh dianggap mengganggu gugat proses siasatan suruhanjaya anti rasuah itu. – MalaysiaGazette