Larry Sng Wei Shien

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak sepatutnya mengambil semula peranan mengurus sistem Pendidikan negeri itu daripada Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Beliau menegaskan, Sarawak mempunyai pemimpin serta golongan profesional yang berwibawa, berpengetahuan dan pragmatik untuk menjanjikan sistem pendidikan lebih baik.

“Selain itu, Sarawak juga mempunyai golongan yang amanah dan berkebolehan dalam menentukan pendidikan terbaik untuk rakyatnya berbanding diuruskan rakan dari Semenanjung.

“Kita lihat mereka yang mengurus sistem pendidikan di Semenanjung ini sering terjerat dalam politik sehingga Sarawak turut menjadi mangsa,” katanya yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn pernah mengharapkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan untuk memberi kuasa autonomi kepada negeri itu dalam isu berkaitan pendidikan.

Ujar beliau, perkara itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ia adalah aspirasi semua rakyat Sarawak.

Kata Roland Sagah, kuasa autonomi yang akan diberikan itu hendaklah termasuk perkara dasar dan pelaksanaan dengan Kerajaan Persekutuan terus menyediakan pembiayaan yang diperlukan. – MalaysiaGazette