SHAH ALAM – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mencatatkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 209,214 tan karbon dioksida setara setakat 2022.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengurangan itu hasil daripada Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) yang dilancarkan sejak 2019.
“Jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif ini juga sebanyak 29,622 tan karbon dioksida. Ia bersamaan dengan penanaman 5.2 juta batang pokok,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sini malam ini.
Tambah Nik Nazmi, Bandar Rendah Karbon merupakan asas pembangunan bandar lestari yang menggunakan teknologi hijau dan mengeluarkan karbon rendah.
“Inisiatif itu dapat mengurangkan kesan ke atas perubahan iklim melalui penggunaan sumber secara efisien dan mengurangkan pembaziran.
“Pembangunan bandar antara punca utama pelepasan GHG penyumbangkepada masalah perubahan iklim global kesan daripada aktiviti seperti pengangkutan, perindustrian dan pembuatan,” katanya.
Jelasnya, rangka kerja bandar rendah karbon yang diperkenalkan sejak 2011 memberi panduan pihak berkepentingan seperti pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT), perancang bandar, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam bagi menerajui konsep pembangunan bandar mampan secara lestari.
“LCCF mendorong pihak berkepentingan untuk menilai semula aspek utama dalam perancangan dan pembangunan projek baharu serta projek sedia ada untuk mengambil kira keperluan bandar rendah karbon,” katanya.
Katanya lagi, inisiatif itu juga selaras dengan tonggak pertama dalam konsep Malaysia Madani.
“Ia merupakan salah satu dari tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Kerajaan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon di seluruh negara menjelang 2030.
“Negara perlu terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada 2050,” katanya. – MalaysiaGazette