KUALA LUMPUR – Kos pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) tetap sama walaupun dikurangkan daripada enam kepada lima buah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kos berkenaan tidak dapat dikurangkan berikutan harga barangan yang meningkat.
“Sebenarnya tidak ada pengurangan dalam siling yang telah diluluskan terdahulu. Ia tetap sama. Disebabkan banyak variation order (VO) pertambahan kos kerana disebabkan keadaan harga barang-barang semua telah meningkat.
“Tetapi wang yang telah digunakan, saya sendiri lihat dalam Bousted Navel Shipyard itu semua sudah dibeli,” kata Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut Nordin Ahmad Ismail.
Sebelum ini media melaporkan pembinaan enam buah LCS berjumlah RM9 bilion.
Pada 30 Januari lalu Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub memaklumkan projek LCS diteruskan namun bilanganya dikurangkan kepada lima berbanding enam.
Sementara itu Mohamad berkata, kementerian sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.
“Kita akan bentangkan kertas baharu kerana kerajaan ini bukan kerajaan terdahulu yang telahpun bersetuju, maka kita akan bentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk kita meneruskan projek ini.
“Apabila kita menandatangi international settlement agreement dengan pihak ketiga kita dapat meneruskan (projek),” katanya.
Kementerian Pertahanan telah membentangkan kertas mengenai hala tuju berkaitan perolehan LCS kepada Kabinet kerajaan terdahulu sebanyak empat kali iaitu pada 20 November 2020, 5 Mei 2021, 4 Mac 2022 dan 20 April 2022.
Mengenai tindakan undang-undang terhadap pelaku-pelaku dalam skandal LCS, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan hanya terbabit enam daripada tujuh syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, satu syor melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Daripada enam syor melibatkan kementerian, empat syor telah selesai dilaksanakan dan baki dua syor sedang dalam tindakan.
Ini kerana dua syor tersebut melibatkan PAC dan Jawatankuasa Khas Parlimen yang masih belum dibentuk.
Mengenai persenjataan, Kementerian Pertahanan memperolehi Surface to Surface Missile secara terus dengan Original Equipment Manufacturer (OEM).
“Pada masa ini, status perolehan ini berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Manakala bagi perolehan Surface to Air Missile, ia belum dilaksanakan dan bergantung kepada hala tuju perolehan LCS,” kata Mohamad. – MalaysiaGazette