Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam bercakap kepada media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin yang bernilai RM4.05 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Polis masih menunggu laporan lengkap berhubung status suspek iaitu seorang pesakit mental yang menikam seorang lelaki di Hospital Selayang, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, pihak hospital belum mendapatkan maklumat terperinci suspek kerana dikatakan masih dalam keadaan tidak menentu.

Katanya, suspek kini dirawat di Wad Psikiatri Hospital Selayang selepas kejadian itu.

“Setakat ini saya hanya nyatakan, suspek berasal dari Lahad Datu, Sabah datang ke rumah keluarganya di Selangor, sebelum kejadian itu berlaku.

“Ahli keluarga menghubungi MERS999 dan seorang anggota polis datang untuk mengawal keadaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Lelaki yang cedera ditikam suspek kini masih dirawat di Hospital Selayang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Difahamkan, mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan sebelum diserang suspek. – MalaysiaGazette