KUALA LUMPUR – Sebanyak 312 motosikal dengan 341 individu diperiksa menerusi Operasi Sepadu Khas Nombor Pendaftaran yang diadakan di Dataran Shah Alam pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sebanyak 285 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan lesen memandu dengan 94 kesalahan nombor pendaftaran.

Katanya, operasi khas itu dilaksanakan serentak di seluruh negara setelah menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak berhubung ketidakpatuhan berkaitan undang-undang dan peraturan jalan raya.

“Selain itu, hasil operasi khas ini juga sebanyak 81 buah motosikal pelbagai jenis telah disita di bawah Seksyen 64(1) APJ1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, operasi itu melibatkan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Daerah Shah Alam serta pegawai Balai Polis Seksyen 9.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna jalan raya.

“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette