Anwar Ibrahim.-Foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pelantikan anggota Kabinet dalam kalangan mereka berhadapan dengan pendakwaan kes pecah amanah di mahkamah tidak akan menjejaskan prinsip dan dasar ‘Membangun Malaysia Madani’.

Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Pejabat Peguam Negara menjalankan proses kehakiman secara telus dan adil tanpa mengira latar belakang individu yang didakwa.

“Apa yang saya lakukan adalah memaklumkan kepada Peguam Negara kepada Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti tegak atas prinsip negara hukum. Saya tidak mahu menghukum, sebelum proses mahkamah yang telus dan bebas.

“Saya hanya boleh beri jaminan ia tidak ganggu prinsip dan dasar termasuk madani yang saya terapkan. Kalau nampak saya keras dengan rasuah, penyelewengan, yang ada bukti, ini saya tidak mahu minta maaf walaupun saya dikutuk sebahagian kononnya cari salah.

“Saya kata ambil tindakan saya tidak peduli dari parti mana termasuk PKR sendiri. Saya tidak boleh menjamin parti saya 100 peratus bersih,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN) dalam soalan tambahannya bertanya, apakah tindakan Perdana Menteri yang melantik anggota pentadbiran di peringkat tertinggi dalam kalangan mereka yang didakwa kes pecah amanah akan menjejaskan agenda Madani yang diuar-uarkan?

Dalam masa yang sama beliau bertanyakan adakah tindakan berkenaan akan mempengaruhi keputusan perbicaraan di mahkamah.

Sebelum itu, Anwar menegaskan, individu terpalit dengan mahkamah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak perlu meletakkan jawatan selagi tidak disabit bersalah dengan bukti yang kukuh.

“Ada Yang berhormat yang didakwa di mahkamah, disoal kepada saya apakah perlu yang terlibat letak jawatan semua dalam parti, sudah tentu jawapannya tidak. Begitu juga pendirian saya dalam situasi ini,” ujar Ahli parlimen Tambun itu.

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan kes mahkamah, Anwar berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjalankan tugas berlandaskan amalan dan prinsip dasar kerajaan.

“Saya sekadar nak sebut sejak Bagan Datuk jadi TPM semua kerja-kerja dan amalan patuh kepada prinsip dan dasar kerajaan. Ada satu kes dibawa kepada beliau dibawa oleh syarikat-syarikat GLC mengusulkan beberapa tindakan segera tanpa tender beliau menulis patuh keputusan Jemaah Menteri semua mesti mengikut proses tender ini pertama kali saya sebut,” katanya.-MalaysiaGazette