SEPANG – Kerajaan akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu berkaitan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana kerajaan mahu memperincikan dokumen berkenaan sebelum mengamibl apa-apa tindakan.
“Satu taklimat oleh pegawai kementerian yang mengendalikan projek ini telah diberikan kepada saya dua hari lalu.
“Tujuan taklimat ini adalah untuk kita mengetahui sama ada praktis korporat itu mematuhi terma dalam kontrak yang ditandatangani antara subsidiari Iris Corp dengan kerajaan.
“Saya akan membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lewat petang tadi.
Jelas Saifuddin, ia kerana wujud isu mengenai projek itu, yang diraih oleh Iris Corporation Bhd dan didakwa berkait rapat dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Awal Februari lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang bekas Perdana Menteri dan menantunya berhubung kontrak kerajaan.
Malah terdapat maklumat yang menyatakan NIISe, sebuah projek yang sedang dibangunkan untuk menggantikan mekanisme pendaftaran pekerja asing sedia ada oleh Jabatan Imigresen menjelang 2025 adalah projek yang bermasalah.
Untuk rekod, Iris Corp memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Tass Tech Technologies Sdn Bhd (Tass Tech), membabitkan pelupusan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam unitnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS), berjumlah RM70 juta.
IITS adalah pemaju NIISe, yang dikatakan bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS), yang diguna pakai oleh jabatan itu sejak 13 tahun lalu. – MalaysiaGazette