KAJANG – Wan Muhammad Azri Wan Deris diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kejadian empat tahun lalu.
Exco Pemuda UMNO yang digantung keahliannya itu turut diperintah membela diri atas satu lagi pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan terhadap Syed Saddiq.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Keputusan itu juga dibuat selepas mahkamah mendengar dan meneliti semua keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan.
Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh yang dikenali dengan panggilan Papagomo didakwa dengan sengaja berbuat demikian terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu di bahagian leher dan bahunya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pukul 11.05 pagi pada 16 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan pula, Papagomo pada asalnya didakwa mengaibkan kehormatan Ahli Parlimen Muar itu dengan menyebut perkataan ‘kau bodoh’ yang boleh menyebabkan keamanan terganggu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Papagomo tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan semula.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Logen Eskander.
Mahkamah kemudian menetapkan empat hari iaitu 22 dan Mei serta 12 dan 13 Jun depan bagi perbicaraan bela diri terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Sepanjang prosiding berlangsung sejak 4 November 2019 lalu, seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil bagi memberikan keterangan.
Sebelum ini media melaporkan, Syed Saddiq membuat laporan polis pada 16 Februari 2019, mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik sahaja selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Papagomo yang dibebaskan dengan jaminan polis kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 21 Februari tahun sama, terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinta.
Papagomo yang merupakan penulis blog membuat laporan dengan mendakwa insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. – MalaysiaGazette