SEPANG – Pihak pembangkang terutamanya Pas dinasihatkan berhenti menjadi ‘jurucakap’ kepada pihak berkuasa berhubung sebarang siasatan terhadap pemimpin mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pihak lain selain pihak berkuasa tidak perlu membuat sebarang kenyataan sebaliknya biarkan polis dan Suruhanjaya Pencegaahn Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan mereka.
“Kertas siasatan nak siap bila, nak serahkan bila, ada kes atau tidak. Sekarang jadi trend di mana Tan Sri Muhyiddin dipanggil SPRM, dia buat kenyataan bukan suspek cuma saksi. Pas pula kata ucap terima kasih kepada polis sebab tidak ada kes.
“Jangan ambil peranan jadi jurucakap SPRM ataupun polis. Itu lebih baik,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Saifuddin berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung siasatan SPRM dan siasatan polis mengenai kes perarakan pakaian replika senjata, baru-baru ini.
Awal hari ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berterima kasih kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik hanyalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.
Khairil Nizam berkata, polis juga mengesahkan perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di Terengganu 2023 yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Sebelum ini, timbul dakwaan terdapat perarakan berkonsepkan cosplay Himpunan ‘Himpit’ di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan masing-masing berhubung sesuatu kes.
“Berikan ruang kepada polis untuk siasat tak perlu jadi jurucakap polis dia luar, biar polis uruskan dan buat kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette